2 SEPT: Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Allahyarham Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, yang meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika latihan menyusuri Sungai Pahang di Kampung Batu Bor di Bera, Pahang, 29 Ogos lalu, kini dinaikkan pangkat secara ‘posthumus’ daripada Lans Koperal kepada Koperal dengan serta merta.
Pengumuman itu dibuat oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain di hadapan ahli keluarga dan wakil media selepas beliau menghadiri istiadat pengkebumian Allahyarham Mohamad Azrin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Laguna di Sungai Petani, Kedah, hari ini.
Menurut Zamrose, penganugerahan itu diberikan sebagai menghargai khidmat bakti Allahyarham dalam pasukan TDM sejak tujuh tahun lalu.
Dalam pada itu Zamrose berkata, kemalangan yang menimpa Allahyarham Koperal Mohamad Azrin adalah satu kehilangan buat negara.
“Sebagai menghargai khidmat bakti Allahyarham, maka TDM menzahirkan penganugerahan pangkat secara posthumous dan Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin, dengan ini dinaikkan ke pangkat koperal,” katanya.
Allahyarham Mohamad Azrin ditemukan penduduk di Kampung Serengkam, Maran, Pahang kira-kira 70 kilometer dari lokasi kejadian kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Beliau dipercayai lemas selepas hilang di Sungai Pahang di Kampung Batu Bor di Bera pukul 4.40 petang, 29 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Zamrose berkata TDM juga akan memberi bantuan kepada waris Allahyarham Mohamad Azrin berdasarkan peraturan-peraturan angkatan tetap seperti pencen, ganjaran dan faedah-faedah lain.
“Pemberian faedah kelayakan kematian adalah dianugerahkan kepada balu dan anak serta ibu atau bapa mengambil kira jumlah perkhidmatannya selama tujuh tahun,” katanya.