2 SEPT : Semua 463 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas akibat gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan oleh henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih sudah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.
Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.
Menerusi hantaran itu, Air Selangor mengucapkan terima kasih kepada pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
“Bekalan air di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Langat Pulih Sepenuhnya,” katanya.
Air Selangor juga menyarankan pengguna mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor.
“Maklumat terkini boleh didapati di semua aplikasi iaitu Twitter, Facebook (Fb), Instagram (IG) dan laman web www.airselangor.com.
“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Pusat Khidmat Bantuan (Help Centre) di aplikasi Air Selangor.
Terdahulu, LRA Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada Isnin lalu.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Basri berkata, pencemaran bau itu dikesan jam 11.10 pagi hari berkenaan.
Sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling sebanyak 172 kawasan, Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.
Sepanjang tempoh itu, Air Selangor berusaha memaklumkan perkembangan terkini kepada pengguna terjejas menerusi platform digital rasmi dan laman web rasmi.