2 SEPT: Pembukaan sektor pelancongan menerusi gelembung perjalanan dengan projek rintis bermula di Pulau Langkawi pada 16 September ini bakal memberikan sinar harapan baharu kepada penggiat industri pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri, berkata program berkenaan akan dilaksanakan secara bersyarat termasuk kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.
Beliau berkata pengumuman Perdana Menteri hari ini juga membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan yang digariskan kementerian dilaksanakan segera.
“Ini adalah satu berita gembira bukan saja kepada kementerian, malah penggiat industri ini yang turut membabitkan pekerja yang sudah lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restoran di pulau peranginan itu akibat pandemik COVID-19.
“Saya yakin pembukaan sektor pelancongan domestik yang akan dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dalam tempoh terdekat dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September ini.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis bagi menyemarakkan kembali industri yang sudah lama terjejas berikutan pulau itu terasing dan akan memudahkan urusan pemantauan.
“Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya tersendiri seperti rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.
“Jika projek rintis Langkawi ini berjalan dengan jayanya, saya percaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana apa yang dilihat akan dipercayai,” katanya.