2 SEPT : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim melahirkan rasa gembira apabila negeri Johor akan menerima sebanyak 1.9 juta dos vaksin COVID-19 bulan ini.
Menerusi hantaran di Facebook milik baginda, Tunku Ismail bertitah daripada jumlah dos vaksin itu sebanyak 1.76 juta adalah vaksin keluaran Pfizer dan BioNTech.
“Sukacita saya ingin maklumkan negeri Johor akan menerima 1.9 juta dos vaksin COVID-19 pada bulan ini.
“Dengan jumlah dos ini, saya yakin seluruh bangsa Johor akan menerima vaksin tidak lama lagi. Bersama-sama kita doakan kejayaan program vaksinasi COVID-19,” titah baginda.
Terdahulu, Tunku Ismail Isnin lalu dilaporkan menitahkan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, menghadap baginda berhubung isu kekurangan vaksin di negeri itu.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan ini.
Perdana Menteri berkata, negeri berkenaan terdiri Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.
Untuk rekod, hanya 47.8 peratus penduduk Johor sudah menerima dos vaksinasi lengkap, manakala 78.8 peratus penduduk negeri itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, semalam