2 SEPT : Tiga fokus utama menjadi tumpuan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tiga fokus itu adalah program imunisasi bagi mereka yang terbabit dalam Program Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau berkata, pihaknya akan meminta tambahan peruntukan vaksin dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjayakan Program Mobilasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di KPKT.
“Sebelum ini KPKT telah diperuntukan sebanyak 80,000 dos di mana 33,000 telah digunakan.
“Kita akan memberi keutaman di negeri-negeri yang masih berada di bawah paras capaian imuniti kelompok yang digariskan,” katanya menerusi sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, Reezal Merican memaklumkan, keberkesanan program imunisasi vaksinasi dalam kalangan peserta PPR adalah penting bagi membolehkan mereka kembali melakukan aktiviti pekerjaan yang menjadi sumber pendapatan selama ini.
Kata beliau lagi, fokus kedua KPKT ialah untuk merancang keperluan menyediakan kediaman bagi golongan tersebut yang tidak lagi mampu mencari tempat perlindungan kesan daripada krisis pandemik yang melanda ketika ini.
“Seterusnya adalah untuk membantu mereka yang terkesan seperti penjaja dari kalangan penduduk PPR. Ini termasuklah tentang masalah sewaan dan sebagainya.
“Saya akan umumkan paling awal Isnin ini untuk lihat keperluan menyediakan kediaman atau tempat bagi mereka yang tidak mampu akibat COVID-19,” kata Reezal Merican.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, Pelan Pemulihan Ekonomi Negara turut menjadi fokus utama dan KPKT dalam memainkan peranannya.
” Ini bagi memastikan agenda kerajaan berjalan dengan baik termasuk dengan menyediakan Pelan Pemulihan Ekonomi di peringkat kementerian,” katanya.