2 SEPT: Kerajaan hari ini mengumumkan Melaka akan beralih ke Fasa kedua, manakala Negeri Sembilan bakal memasuki Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai Sabtu ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata perkara itu diputuskan Sidang Khas Pengurusan Pandemik COVID-19, dipengerusikannya pagi tadi.
Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program “travel bubble” atau gelembung perjalanan berdasarkan syarat tertentu yang ditetapkan kerajaan.
“Sebagai permulaan, Pulau Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 September.
“Destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata mesyuarat juga telah sebulat suara bersetuju agar sidang khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.
Beliau berkata jawatankuasa khas ini bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang sebagai salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia.
” Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar purata kebolehjangkitan (R-naught) seluruh negara berada di bawah 1.0, dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara,” katanya.