2 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima banyak aduan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang dikatakan menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah bagi mengubah keputusan yang dibuat pada 6 Ogos lalu iaitu penangguhan pemilihan parti UMNO sebagai tidak sah kepada sah.
Menurut sumber berkata, pegawai berkenaan dikatakan meluluskan penangguhan Pemilihan Agong UMNO sehingga Disember 2022 bagi tempoh 18 bulan menerusi sepucuk surat bertarikh 30 Ogos lalu.
Berikutan itu, beberapa pihak tampil laporan kepada SPRM kerana tidak berpuas hati dengan keputusan terbaharu dibuat pegawai.
“Mereka mengesyaki berlakunya perbuatan salah guna kuasa dan rasuah untuk mempengaruhi perubahan keputusan ini oleh segelintir ahli politik yang cenderung kepada pemimpin-pemimpin tertentu,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan ada menerima aduan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, UMNO dalam satu kenyataan pada 30 Ogos lalu memberitahu, pihaknya telah menerima surat daripada RoS yang mengesahkan keputusan penangguhan Pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sehubungan itu pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.
Pada 6 Ogos lalu, RoS menetapkan keputusan Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.
UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.