2 SEPT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini, memberi amaran keras bahawa guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pegawai masjid dan jurunikah yang menolak vaksin COVID-19 mungkin akan dilarang bertugas.
Sultan Sharafuddin bertitah tindakan berkenaan perlu kerana baginda menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai maklumat pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di Negeri Selangor.
Baginda bertitah difahamkan seramai 326 orang guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin COVID-19 manakala 95 orang lagi enggan menerima suntikan vaksin berkenaan.
Selain itu, seramai 59 orang pegawai masjid belum mendapat suntikan vaksin COVID-19, dengan 11 orang lagi enggan berbuat demikian. Manakala, sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenal pasti enggan menerima vaksin.
Justeru itu, Sultan Sharafuddin berharap pihak Jabatan Kesihatan Selangor dapat menyegerakan proses vaksinasi COVID-19 terhadap guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah di Selangor.
“Bagi golongan ini yang memilih untuk tidak mahu divaksin, Beta amat dukacita kerana mereka akan membahayakan diri mereka sendiri dan orang ramai.
“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan para pelajar. Golongan ini sepatutnya mengetahui bahawa jika seseorang itu dijangkiti dengan virus COVID-19, suntikan vaksin akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk dan dapat mengelakkan kematian,” titah Sultan Sharafuddin yang dikongsi di laman Facebook Selangor Royale Office hari ini.
Malah, Sultan Sharafuddin difahamkan sejumlah besar kematian akibat COVDI-19 di Negeri Selangor ini adalah di kalangan mereka yang tidak divaksin.
Berikutan itu baginda mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan telah mengesahkan yang vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 buat masa ini.
“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan.
“Beta juga suka mengingatkan bahawa Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah diharuskan.
“Justeru itu, rakyat Beta tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin. Isu-isu berkaitan pengambilan vaksin COVID-19 ini telah banyak kali disebut di dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan-kenyataan akhbar yang Beta keluarkan.
“Akhirnya Beta menyeru kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor ini supaya mendapatkan suntikan vaksin daripada Pusat Penyuntikan Vaksin (PPV) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat di sekeliling.
“Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wata’ala supaya pandemik COVID-19 ini akan berakhir dengan segera dan kita semua akan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa,” titah baginda lagi. – Oleh HAIKA KHAZI