3 SEPT: Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengumumkan tiga kawasan di Perak dan Pahang, bakal dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Ahad ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata dua lokasi di Perak yang akan dikuatkuasakan PKPD ialah di Taman Samudera, Seri Manjung dan Kampung Orang Asli Sungai Cincin, Batang Padang.
Beliau berkata turut dikuatkuasakan PKPD ialah di Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia serta deretan kedai Pekan Padang Tengku di Pekan Padang Tengku, Mukim Gua, Lipis, Pahang.
“Penguatkuasaan PKPD berkenaan dibuat selepas MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, di semua kawasan terbabit.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi berkata MKN juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di dua lokaliti di Kota Belut, Sabah, membabitkan Kampung Labuan dan Kampung Ambung Tolus, yang dijadualkan tamat pada 4 September kepada 18 September 2021.
Beliau berkata Mesyuarat Sidang Khas MKN hari ini bersetuju menamatkan PKPD di beberapa lokaliti lain di Sabah dan Pahang.
“Antara PKPD di Sabah yang ditamatkan ialah Kampung Tuguson, Kampung Sayap dan Kampung Menunggui, Kota Belut; Kampung Tangkuyan, Kinabatangan; Taman Millenium dan Taman Kinabutan Ria, Tawau serta Perumahan Ladang Cantawan, Silabukan dan Perumahan Lestari Felda Sahabat 48, Lahad Datu.
“PKPD yang ditamatkan di Pahang adalah membabitkan Taman Balok Makmur, Sungai Karang, Kuantan dan Flat Damai Taha, Temerloh,” katanya.