3 SEPT : Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar kejadian seorang wanita bersalin bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru tidak akan berlaku lagi di masa hadapan.
Tunku Ismail bertitah, pihak yang terbabit juga akan diberikan peringatan dan amaran supaya menjalankan tugas bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pesakit.
“Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan melihat kenyataan jabatan itu. Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin.
“Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” titah baginda menerusi ciapan lewat malam tadi di Twitter rasmi milik miliknya.
Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan selepas netizen berkongsi laporan insiden wanita berkenaan bersalin bersendirian itu kepada baginda.
Semalam, JKNJ berjanji akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian tersebut yang berlaku di HSI bulan lalu.
Terdahulu, Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, secara keseluruhannya aduan itu adalah berasas dan JKNK akan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.
Kelmarin, tular di media sosial, dakwaan seorang wanita membuat hantaran di Facebooknya mendakw terpaksa melahirkan anak seorang diri di bilik pengasingan khas bagi ibu hamil yang positif Covid-19, setelah panggilannya untuk meminta bantuan kakitangan hospital tidak dilayan.
Wanita itu memuat naik status berkenaan di akaun Facebooknya pada 31 Julai lalu tetapi hanya menjadi tular sejak kelmarin.
Pendedahan ibu berkenaan serta laporan maklum balas JKNJ semalam menerima kecaman meluas netizen.
Rata-rata warga maya amat kecewa kerana insiden berkenaan membahayakan nyawa ibu serta bayi yang tidak dipantau malah mereka mengharapkan petugas kesihatan lebih peka dan ikhlas dalam menjalankan tugas.