3 SEPT : Laporan mengenai transformasi Parlimen akan diserahkan kepada kabinet dalam masa yang terdekat untuk disahkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebuah jawatankuasa bersama antara Parlimen dan kementeriannya juga akan dibentuk.
Menurut beliau, ia ditubuhkan untuk memastikan pelbagai cadangan yang dibincangkan mengenai perkara itu dapat dilaksanakan segera.
“Ini sebagaimana telah dipersetujui dalam perbincangan selama 90 minit bersama Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.
“Dengan sukacita saya maklumkan bahawa Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menerima cadangan itu secara positif dan sebenarnya, bersedia memainkan peranan utama dalam mentransformasi Parlimen kita,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Junaidi turut memaklumkan tiga perkara menjadi tumpuan utama yang dibincangkan menerusi perjumpaan tersebut.
“Perkara itu adalah untuk menghidupkan atau memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen, cadangan untuk mewujudkan akta baharu Parlimen bagi menggantikan Akta Hak Istimewa dan Kuasa Parlimen 1952 (Pindaan 1988) dan perbincangan mengenai lebih banyak pindaan terhadap Peraturan-peraturan dan Peritah-perintah Tetap Dewan Rakyat dan Dewan Negara sedia ada,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH