3 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama erat dengan pihak kedutaan asing bagi menyelesaikan masalah mayat warga asing meninggal dunia akibat COVID-19 yang dikatakan ‘terbiar’ dan belum dituntut kedutaan masing-masing di beberapa hospital kerajaan.
Berikutan itu, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, KKM sedang berusaha menghubungi waris mereka melalui kedutaan asing supaya proses penghantaran pulang mayat atau pengkebumian dapat dilakukan di sini.
“Kita bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan pihak kedutaan asing untuk menguruskan mayat warga asing ini yang meninggal akibat Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan masalah lambakan mayat warga asing di hospital-hospital kerajaan dan di Hospital Serdang sahaja terdapat kira-kira 20 mayat warga asing ditempatkan dalam bilik mayat kerana urusan mendapatkan kebenaran daripada pihak kedutaan masih tergendala dan masalah yang sama dipercayai turut berlaku di beberapa hospital lain di Lembah Klang.
Mengulas lanjut, Khairy berkata lambakan mayat warga asing yang tidak dapat diuruskan itu berpunca daripada sikap kedutaan warga asing terbabit mengambil mudah urusan pengesahan, dokumentasi dan pengurusan mayat terutama melibatkan rakyat Bangladesh dan Indonesia.
Keadaan itu diburukkan dengan kematian yang ramai dalam kalangan warga asing dengan terbaharu sebanyak 53 kematian yang disahkan akibat COVID-19 setakat 1 September lalu dengan 34 orang mati di rumah manakala selebihnya meninggal dunia di hospital.
Malah, statistik KKM merekodkan daripada 16,942 kes kematian akibat COVID-19 sehingga kelmarin, kira-kira 2,000 membabitkan warga asing.
‘Lambakan’ kematian dalam kalangan warga asing itu memberi implikasi kepada tugas hospital serta sukarelawan di unit forensik selain masalah penempatan mayat bagi kes selain COVID-19.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata keputusan penetapan harga siling bagi penjualan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri di pasaran adalah muktamad dan penguatkuasaanya kekal, mulai Ahad ini.
Khairy berkata tindakan tegas berkenaan perlu kerana kerajaan mesti menyeimbangkan kepentingan antara pembekal, penjual dan rakyat ketika musim pandemik.
“Sebarang penangguhan tarikh kuat kuasa penetapan harga siling kit saringan kendiri tidak dibuat semata-mata bagi memberi laluan kepada penjual dan pembekal menghabiskan stok lama kerana ia memberi implikasi kepada rakyat.
“Kita kena seimbangkan antara pembekal, penjual dan rakyat sekarang ini. Kalau kita nak bagi tempoh selama sebulan untuk habiskan stok lama, maka sudah tentu rakyat yang bakal terkesan. Rakyat terpaksa bayar sampai RM40 untuk beli kit saringan dalam tempoh selama sebulan, semata-mata nak tunggu penjual habiskan stok lama.
“Kita perlu buat keputusan dan ia sudah dimuktamadkan. Saya faham apa-apa keputusan yang kita buat akan ada pihak tidak berpuas hati, dalam kes ini ialah pembekal dan penjual kit saringan.
“Tetapi saya dan Datuk Alex (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi), kita memihak kepada pengguna yang minta supaya kit saringan dapat diturunkan harga dan harga siling ditetapkan secepat mungkin. Keputusan sudah dibuat, move on (terimalah),” katanya hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga runcit maksimum bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) di pasaran tempatan ditetapkan RM19.90 seunit berkuat kuasa Ahad ini.
Kedua-dua kementerian turut menetapkan harga borong maksimum bagi kit ujian sama pula ditetapkan pada harga RM16 satu set dan penentuan harga maksimum kit ujian ini dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.