3 SEPT: PAS bercadang menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi melakukan kajian secara terperinci mengenai akta antilompat parti, sekali gus membolehkan parti itu mempelopori usaha merealisasikan pelaksanaan undang-undang terbabit di Malaysia, pada masa depan.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, akta antilompat parti memang sudah lama diperjuangkan PAS namun ditolak pelbagai pihak atas alasan melanggar hak asasi manusia.
Tuan Ibrahim berkata, pendirian PAS terhadap isu berkenaan adalah konsisten dan jawatankuasa khas yang bakal dibentuk kelak akan merumus secara teliti mengenai tindakan akan diambil parti itu pada masa depan.
“Pelbagai cara telah kita buat untuk atasi masalah lompat parti namun bagi saya, selagi tiada akta itu (antilompat parti), sebenarnya kita tidak selamat.
“Kalau menang dua tiga kerusi, kita tiada jaminan bahawa orang itu akan kekal dengan parti yang dia menang,” katanya kepada pemberita di Pasir Mas, Kelantan hari ini.
Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air meluangkan masa melakukan lawatan ke tapak projek membaik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Pohon Celagi.
Sebelum ini, PAS sekali lagi membangkitkan keperluan mewujudkan undang-undang berkaitan lompat parti dan kelmarin, DAP dilaporkan sedia bekerjasama memandangkan usaha tersebut memerlukan pindaan Perlembagaan dengan dua pertiga majoriti.
Tuan Ibrahim berkata akta antilompat parti, perkara lain perlu diberi perhatian ialah cadangan untuk mewujudkan Akta Dana Politik bagi menangani isu dana dari luar yang disalurkan kepada parti-parti politik.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata projek baik pulih runtuhan tebing Sungai Kelantan, yang menelan belanja RM45 juta kini berjalan lancar mengikut jadual dan dijangka siap menjelang Mei depan.
Katanya, projek tersebut membabitkan dua peringkat iaitu membina tebatan di tebing sungai serta membina laluan air dan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh, sebahagian besarnya dijangka siap lebih awal.