3 SEPT: Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor menjadi wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkuatkuasa mulai 9 Ogos lalu bagi menggantikan Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim.
Roziah, 59, sebelum ini adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) memangku jawatan nombor satu institusi itu sejak Mohd. Azrai tamat tempoh perkhidmatannya pada 10 Mac lalu.
Majlis penyerahan surat pelantikan kepada Roziah disempurnakan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Kementerian Pengajian Tinggi hari ini.
Terdahulu, Noraini melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos lalu, memaklumkan pelantikan Roziah adalah selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 20 (1) Akta UiTM bagi tempoh berkuat kuasa mulai 9 Ogos 2021 sehingga 11 Oktober 2023.
Sementara itu, Noraini dalam kenyataan ringkas hari ini berkata beliau yakin Roziah mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM.
Dr Roziah juga dilihat mampu menjaya visi untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti mega seterusnya memberi peluang yang luas kepada bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang.
“Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas Naib Canselor UiTM Datuk Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim atas jasa bakti beliau menerajui UiTM selama lebih dua tahun sejak tahun 2019,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Isu pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor UiTM mencetuskan polimik apabila Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengeluarkan surat penangguhan pelantikan Roziah pada 8 Ogos lalu, berikutan perletakan jawatan Noraini sebagai Menteri Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, urusan pelantikan Roziah kembali berjalan selepas Noraini kemudian dilantik semula sebagai Menteri Pengajian Tinggi oleh Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 26 Ogos lalu.
Untuk rekod Roziah, 58 tahun berkelayakan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik dari The State University of New York @ New Paltz New York, USA, Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama dari West Virginia University, USA dan seterusnya memperolehi PhD dalam bidang Statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Beliau telah menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan Fakulti menjadi Kolej Pengajian 10 bidang, Education 5.0@UiTM dan Global Learning.
Roziah menganggotai badan profesional Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan pernah menerima pelbagai anugerah seperti Staff Excellence Award UiTM pada tahun 2017, 2013, 2009, 2008 dan 2002, Researcher of the Year UiTM 2007, Bronze Medal for GPP Modified Socio Mobility Index: Quantifying Actual Development Impact dari Malaysian Association of Research Scientist dan lain-lain.