3 SEPT : Pengagihan vaksin CanSino diteruskan ke Pulau Mabul, Sabah bermula hari ini.
Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui Twitter miliknya yang turut memuat naik dua keping gambar petugas kesihatan dalam perjalanan ke pulau itu.
Petugas kesihatan diiringi anggota polis bersedia ke Pulau Mabul, Sabah hari ini untuk pemberian vaksin satu dos tersebut bagi meningkatkan liputan imunisasi dalam usaha Malaysia melangkah ke fasa endemik, katanya.
Khairy berkata, pengagihan vaksin CanSino ke pulau itu melibatkan 2,000 dos manakala Nabawan 500 dos yang akan dijalankan selama dua hari.
“Petugas kesihatan diiringi anggota polis bersedia ke Pulau Mabul, Sabah hari ini untuk pemberian vaksin satu dos, CanSino, bagi meningkatkan liputan imunisasi dalam usaha Malaysia melangkah ke fasa endemik,” katanya.
Sabah mula menerima vaksin satu dos itu pada 28 Ogos lalu dan sebanyak 180,000 dos dihantar secara berperingkat sehingga Isnin depan
Sehingga hari ini, sebanyak 44,000 dos vaksin CanSino telah diterima Sabah, katanya.
Khairy Jamaluddin sebelum ini memaklumkan, proses pemberian vaksin CanSino dilakukan di kawasan pedalaman Sabah pada 29 Ogos lalu bermula di Pulau Sebatik dengan 2,400 dos manakala 1,200 dos bagi bahagian pedalaman Kinabatangan.