4 SEPT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi penekanan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan transformasi digital berasaskan kepada pembangunan tempatan serta berteknologi tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia termasuklah ekonomi kurang sentuhan (low-touch economy) terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik yang mencabar ketika ini.
Beliau berkata, penekanan itu seiring dengan kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Selasa lalu.
“MOSTI menyambut baik kenyataan Pra-Belanjawan 2022 oleh Kementerian Kewangan dan akan memberi tumpuan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi disruptif yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi permulaan (start-up), pembiayaan dan pembangunan bakat.
“Ini bagi memangkin pembangunan sosial dan ekonomi negara di samping memacu agenda kelestarian negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Adham memaklumkan MOSTI sedang berusaha membangunkan vaksin COVID-19 dan vaksin-vaksin lain yang berkaitan dengan penyakit-penyakit tropika.
Menurut beliau, usaha ini akan melahirkan lebih ramai pakar dalam pembangunan vaksin, dan saintis dalam penyelidikan.
“Selain itu, penekanan akan turut diberikan kepada pembangunan innopreneur iaitu melahirkan usahawan berlandaskan inovasi dalam kalangan B40 dan M40.
“Di mana, menjadikan produk inovasi dan ekonomi digital sebagai sumber penjanaan pendapatan dan tindakan ini untuk mereka mempertingkatkan kualiti kehidupan dalam mengharungi pandemik COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, Adham memberitahu MOSTI akan terus menerajui bidang teknologi baru muncul antaranya dron, elektrik dan elektronik, Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), blok rantai (blockchain), ruang simpanan awan (cloud storage), robotik, serta inovasi dengan pendekatan yang berpusatkan manusia
“MOSTI akan memastikan semua warga kerja kementerian dan agensi-agensi di bawahnya akan sentiasa proaktif dan pantas dalam menghasilkan impak berprestasi tinggi serta mengarus perdanakan sains, teknologi dan inovasi.
“Budaya kerja cemerlang ini akan memperhebatkan mutu penyampaian kepada masyarakat seterusnya meningkatkan produktiviti dalam memacu IR 4.0 ke arah Masyarakat 5.0 (Society 5.0),” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH