5 SEPT: Sebahagian besar daripada lebih 10 juta individu daripada golongan miskin tegar, individu berpendapatan rendah (B40), mereka berpendapatan sederhana (M40) dan individu bujang akan mula menerima Bantuan Khas COVID-19 (BKC) mulai esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran berkenaan akan dikreditkan terus ke akaun penerima BKC Fasa 1 mulai esok.
Menurutnya, kerajaan sudah menyalurkan dana BKC berjumlah RM3.1 bilion ke institusi perbankan untuk urusan pembayaran bantuan berkenaan.
“Mulai esok, 6 September 2021, proses pengkreditan Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bagi Fasa 1 akan bermula. Dana berjumlah RM3.1 bilion telah pun disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.
“BKC ini akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau memberi jaminan bahawa proses pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa I yang sepatutnya disalurkan Ogos lalu, akan mula diterima pemohon yang layak pada 6 September ini.
Ismail Sabri berkata, pembayaran itu akan dilakukan secara berperingkat dan dijangka selesai sepenuhnya pada 10 September.
Katanya lagi, mengambil maklum isu kelewatan bayaran bantuan BKC dan saya sudah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan bayaran kepada penerima.
Beliau berharap pemberian bantuan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.
Jelasnya, kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
“Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.
Pada Jun lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri, mengumumkan bahawa pemberian bantuan khas BKC akan memberi manfaat kepada 11 juta isi rumah termasuk, warga emas dan individu bujang dengan anggaran peruntukan berjumlah RM4.6 bilion.
Bagi kategori pertama, isi rumah kategori miskin tegar bakal menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos, RM500 (November) dan RM300 pada bulan Disember. Manakala individu bujang kategori miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan November.
Kedua, isi rumah kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM500 pada bulan Ogos dan RM300 pada bulan Disember, manakala bujang kategori B40 akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada bulan Ogos.
Ketiga, isi rumah kategori M40 turut menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bujang kategori M40 akan menerima RM100 pada bulan Ogos nanti. – Oleh HAIKA KHAZI