5 SEPT: Rakyat Malaysia perlu tetap patuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal, biarpun kerajaan mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pematuhan SOP itu seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal seharusnya menjadi kebiasaan baharu setiap rakyat ketika menghadapi pandemik Covid-19.
Hamzah berkata, amalan pematuhan SOP itu telah bermula sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu dan sehingga pada masa hadapan.
Katanya, anggota agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri pula sepatutnya tidak perlu terlalu memberi tumpuan terhadap penguatkuasaan SOP memandangkan seluruh rakyat telah memahami tanggungjawab tersebut.
“Waktu sekarang masih lagi kita panggil wabak ini sebagai satu pandemik tapi ia akan menjadi satu endemik perkara biasa, walaupun menjadi perkara biasa, apa salahnya kita pakai pelitup muka, menjadi kebiasaan baharu.
“Jadi saya mewakili kementerian yang menjaga pematuhan SOP, biarlah kerja kita bukan hanya setakat jaga SOP tapi melihat dari segi kelangsungan hidup ini benar-benar seimbang.
“Kalaulah kita hanya kerja nak menahan orang dan jaga kesalahan tak patuh SOP itu adalah sesuatu yang kecil, biar kita fokus kepada soal keselamatan lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi terjejas tragedi kepala air dalam Program KDN Prihatin Yan Kedah, hari ini.
Berikutan itu, Hamzah berkata, pemimpin pelbagai peringkat seperti Menteri Kabinet, Menteri Besar, Pegawai Daerah, ketua kampung dan majikan perlu memainkan peranan dalam memastikan semuanya mematuhi SOP.
“Saya nak kalau boleh semua berperanan, kalau pun sudah ada SOP, semua pemimpin perlu turun bawah beri nasihat, perlu ingatkan mereka pakai pelitup muka.
“Kerajaan pula tidak patut disalahkan sekiranya terdapat individu dan pihak tertentu yang tidak mematuhi SOP kerana semua pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam soal tersebut,” katanya.