5 SEPT: Majlis Keselamatan Negara (MKN), mengumumkan, empat kawasan di Sabah bakal dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Selasa ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, empat lokaliti di Sabah yang bakal dikenakan PKPD ialah Kampung Tetabuan, Beluran; Kampung Matagang, Keningau; Taman Pantai Lok Kawi, Papar dan Kampung Kilanas, Ranau.
“Penguatkuasaan PKPD berkenaan dibuat selepas MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, di semua kawasan terbabit.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi berkata MKN juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Buanog, Matunggong, Kudat, Sabah, yang sepatutnya tamat esok selama 14 hari lagi sehingga 20 September ini.
Beliau berkata langkah berkenaan diambil selepas MKN meneliti analisa risiko dan trend jangkitan dibuat KKM di kawasan terbabit.
Beliau berkata Mesyuarat Sidang Khas MKN hari ini bersetuju menamatkan PKPD di beberapa lokaliti lain di Sabah dan Pahang.
“Antara PKPD di Sabah yang ditamatkan ialah PKPD di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut dan PKPD Kampung Balung Cocos, Tawau, Sabah, yang dikuatkuasakan di kawasan terbabit sejak 10 Ogos lalu,” katanya.