5 SEPT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedia membantu penduduk Yan dan Kuala Muda yang kehilangan dokumen pengenalan diri akibat kejadian banjir dan kepala air baru-baru ini untuk mendapatkan semula MyKad dan sijil kelahiran masing-masing secara percuma.
Berikutan itu, Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KDN akan menggerakkan unit bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memudahkan penduduk berkenaan mendapatkan semula dokumen pengenalan diri masing-masing.
Hamzah berkata beliau juga mengarah agensi di bawah KDN supaya mendapatkan maklumat berhubung jumlah sebenar mereka yang kehilangan MyKad akibat kejadian banjir dan kepala air yang berlaku di Yan dan Kuala Muda, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Hamzah berkata KDN tidak boleh menggerakkan terus unit bergerak JPN ke kawasan terbabit kerana masih ada kawasan yang berlaku pergerakan tanah dan belum stabil.
“Apabila keadaan kembali stabil dan pulih KDN akan hantar mobile truck JPN bagi membantu penduduk menyiapkan segala dokumen pengenalan diri diperlukan seperti sijil kelahiran dan MyKad.
“Jabatan Imigresen juga akan menghantar unit bergerak jika ramai penduduk kehilangan pasport. Itu semua akan dilakukan untuk membantu penduduk di sini dan saya ingin memaklumkan semua itu akan dilakukan secara percuma dan tiada bayaran akan dikenakan,” katanya dalam sidang media selepas meninjau kediaman yang rosak akibat kejadian banjir dan kepala air di kawasan terbabit hari ini.
Hamzah berkata demikian menyampaikan bantuan 1,000 kotak sumbangan kepada penduduk Yan dan Kuala Muda yang terjejas akibat kejadian banjir dan kepala air baru-baru ini menerusi Ops Bantu.
Dalam pada itu, Hamzah berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Penjara supaya menghantar banduan yang mendapat pelepasan menerusi sistem parol untuk membantu rumah penduduk yang mengalami kerosakan akibat kejadian banjir dan kepala air baru-baru ini.
Hamzah berkata beliau juga menelefon Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad bagi mengadakan kerjasama dengan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membaiki rumah penduduk mengalami kerosakan.
Mengenai Ops Bantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hamzah berkata program berkenaan sudah digerakkan lebih awal, sejak Mei lagi bagi membantu rakyat Malaysia mengalami kesusahan dan kesempitan hidup biarpun ia kurang mendapat liputan media tempatan.
“Ops Bantu PDRM adalah sebahagian daripada Program KDN Prihatin bagi membantu penduduk di seluruh negara bukan hanya di Yan dan Kuala Kedah, sahaja,” katanya.