5 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian berkaitan sebelum mengumumkan keputusan mengenai perkhidmatan bas ekspres dan pengoperasian semula institut memandu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau juga mengadakan dialog secara maya dengan pihak berkepentingan lain hari ini bagi mendengar beberapa isu berbangkit serta menerima pelbagai cadangan daripada pemain industri terbabit.
“Antara dibangkitkan ialah pengoperasian semula institut memandu dan isu berkaitan. Begitu juga dengan pengusaha bas ekspres yang masih tidak dapat beroperasi sepenuhnya ketika ini.
“Kesemua cadangan membabitkan kedua-dua sektor ini akan dibincangkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mencari penyelesaian terhadap isu yang melanda industri akibat pandemik COVID-19,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Antara pemain industri yang menyertai sesi dialog berkenaan adalah wakil daripada Pertubuhan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia, Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia dan Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia