5 SEPT: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) membuktikan kepercayaan kerajaan kepada ketokohan dan kemampuan Pengerusi Parti Perikatan Nasional (PN) untuk memimpin agenda besar setelah lebih setahun negara berperang menentang COVID-19.
Berikutan itu, Ketua Pemuda PAS, Senator Khairil Nizam Khirudin mengucapkan jutaan tahniah kepada bekas Perdana Menteri kelapan berkenaan di atas pelantikan tersebut.
Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda PN berkata, beliau berdoa agar Allah SWT sentiasa membimbing Muhyiddin dalam membuat keputusan yang tepat dan terbaik untuk Malaysia.
“Tan Sri juga membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan tanpa segala bentuk imbuhan. Terima kasih Tan Sri kerana memberikan contoh yang baik untuk ahli politik senior yang lain dan juga kami yang junior ini,” katanya dalam hantarannya menerusi Facebooknya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.
Mohd Zuki dalam kenyataannya dipetik sebagai pelantikan Muhyiddin berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet pada 1 September lalu dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Muhyiddin dalam satu kenyataannya mengesahkan beliau sedia menjalankan tugas sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.
Muhyiddin juga menegaskan,kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan merupakan amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.