5 SEPT: Seorang bekas kakitangan awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana kesalahan salahguna kuasa dan kedudukannya dengan memalsukan butiran pemilikan syarikat bernilai RM1.03 juta.
Menurut sumber, hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek semasa bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Kerajaan Negeri telah menggunakan kedudukannya sebagai urusetia dalam Jawatankuasa Sebutharga.
Sumber berkata, suspek menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner dengan memalsukan butiran pemilikan 3 syarikatnya bernilai lebih kurang RM1.03 juta dari tahun 2016 hingga 2019.
“Suspek adalah seorang lelaki berusia 35 tahun merupakan bekas pembantu tadbir gred N19 telah ditahan kira-kira 11.30 pagi tadi di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut.