5 SEPT : Tindakan negara kaya menyimpan stok vaksin COVID-19 ketika negara miskin bergelut mendapatkan bekalan adalah satu perbuatan yang tidak bermoral, demikian tegas bekas Perdana Menteri British, Gordon Brown.
Kata Brown, negara barat menyimpan hampir 300 juta dos ketika hanya 70 juta penduduk di Afrika divaksin setakat ini.
Brown yang juga utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) menghantar segera vaksin daripada gudang di AS dan Eropah ke Afrika.
Tegasnya, menjelang Krismas, negara barat dijangka mempunyai lebihan satu bilion dos walaupun setiap warga Eropah dan Amerika dewasa menerima dos penggalak dan kesemua kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas menerima suntikan.
Kawalan ke atas stok vaksin oleh negara kaya menyukarkan program COVAX daripada memenuhi sasaran penghantaran dua bilion vaksin kepada negara miskin tahun ini.
Tindakan menyimpan stok juga melambatkan perkongsian dos vaksin oleh negara G7 kepada Afrika dan negara berpendapatan rendah, katanya.