Bekas Timbalan MAFI II buat laporan polis dakwa difitnah
6 SEPT: Mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, pada jam 11 pagi tadi, berhubung penyebaran kenyataan berunsur fitnah yang mendakwa beliau terbabit dengan isu penyelewengan dan salah guna kuasa.
Peguamnya, Muhammad Khairul Azwan Azhan berkata, pada Ahad, anak guamnya mendapati bahawa tular di media sosial melalui tohmahan dan fitnah terhadap Che Abdullah disiarkan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Kudin Tumpat.
Beliau berkata anak guamnya mendakwa fitnah berkenaan turut tular di Whatsapp, Twitter dan Instagram.
“Laporan polis pada hari ini adalah sebagai Laporan Maklumat Pertama (FIR) yang bertujuan supaya pihak berkuasa memulakan penyiasatan kesalahan fitnah jenayah yang bertujuan merosakkan nama baik beliau dan jawatan yang disandang sebagai Ahli Parlimen.
“Secara khususnya beliau membuat laporan polis adalah untuk menghentikan penyebaran fitnah dan tomahan ke atas beliau dan jentera pentadbiran kerajaan di bawah seliaan beliau,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPD) Tumpat, hari ini.
Sementara itu, Che Abdullah berkata beliau tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan kerana masih dalam siasatan polis.
Semalam, tular di media sosial Facebook berhubung dakwaan fitnah oleh satu pemilik akaun yang dikaitkan dengan Che Abdullah menerusi paparan jelas jawatan ahli parlimen berkenaan dalam hantaran itu.