6 SEPT : Penyelesaian yang praktikal seperti penggunaan kriteria pembiayaan yang kurang membebankan untuk membolehkan perniagaan kembali pulih dan beroperasi secepat mungkin perlu dirangka oleh Institusi kewangan pembangunan (DFI).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, cadangan penyelesaian itu juga akan dipertimbangkan di dalam merangka Bajet 2022.
Menurut beliau, DFI memainkan peranan yang strategik dan penting dalam usaha negara memulih dan memelihara kapasiti perniagaan yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan menyokong kehidupan rakyat Malaysia.
”Sehubungan itu dan sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia, saya ingin menyarankan agar DFI memberi sokongan penuh kepada negara di dalam tempoh pemulihan ini.
“Ini kerana objektif DFI adalah untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan sokongan segera itu contohnya dari segi pembiayaan perlu diberi bagi menghindari impak ekonomi jangka panjang.
“Khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana di dalam sektor-sektor strategik.
“Ini termasuk sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH