6 SEPT: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengadakan mesyuarat bersama tiga Menteri Kabinet lain dalam masa terdekat bagi membincangkan pelbagai isu berbangkit sebelum Malaysia beralih ke fasa endemik, menjelang akhir Oktober depan.
Tiga menteri berkenaan ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
“Saya akan memanggil ketiga-tiga menteri dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan secara terperinci dan membuat keputusan bersama tentang penyesuaian prosedur operasi standard (SOP) serta bentuk kelonggaran seterusnya dalam menuju fasa endemik.
“Pada masa yang sama saya juga telah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk terus mengemas kini SOP dan kelonggaran yang sudah dipersetujui bersama oleh kementerian-kementerian yang terlibat sebelum ini supaya lebih mudah difahami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata mesyuarat berkenaan antara lain membolehkan kerajaan sedang meneliti kelonggaran-kelonggaran yang bersesuaian bagi membolehkan rakyat kembali menjalani kehidupan seharian yang lebih bebas dalam norma baharu.
Pada masa yang sama, Hishammuddin berkata kerajaan tetap menitikberatkan soal melindungi nyawa serta kesihatan rakyat disamping memastikan pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kelonggaran-kelonggaran ini termasuklah kemungkinan membenarkan rakyat melakukan perjalanan rentas negeri bagi tujuan yang lebih pelbagai serta membuka lebih banyak sektor.
“Bagi menetapkan kelonggaran-kelonggaran berkenaan, banyak faktor perlu diambil kira kerana ia melibatkan kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.