6 SEPT : Keputusan kerajaan mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tanpa mengira aliran sekolah melambangkan konsep sebenar Keluarga Malaysia.
Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Datuk P. Kamalanathan berkata, konsep Keluarga Malaysia itu bukanlah tindakan retorik semata-mata.
“Tindakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid sangat bertepatan malah slogan ‘Keluarga Malaysia’ itu bukanlah sekadar kata-kata sahaja.
“Konseptualisasi negara sebagai keluarga di bawah satu payung besar dengan peluang kesejahteraan dan kemakmuran yang diperoleh harus dikongsi bersama adalah prinsip mulia
“Keputusan yang dilakukan oleh kerajaan menerusi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid adalah bukti pelaksanaan konsep itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, kerajaan bersetuju mengekalkan dasar pengambilan pelajar ke MRSM sebelum ini tanpa mengira aliran sekolah, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
Beliau berkata demikian semalam bagi mengulas isu syarat kemasukan ke MRSM baharu yang dicadangkan bagi Tingkatan Satu dan Empat sesi 2022 yang hanya menerima permohonan calon dari sekolah kebangsaan membabitkan Tahun Satu hingga Enam manakala sekolah menengah kebangsaan pula Tingkatan Satu hingga Tiga.
Mahdzir berkata, cadangan perubahan diumumkan sebelum ini, tidak diguna pakai selepas perbincangan bersama wakil Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Tambah beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi diterapkan MRSM menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar ke maktab itu sentiasa tinggi.
Katanya, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH