6 SEPT: Sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 akan dibekalkan oleh Kerajaan Persekutuan ke Sabah pada bulan ini sebagai usaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri tersebut.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan penghantaran itu, kerajaan yakin Sabah akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi harian kepada 60,000 hingga 70,000 dos sehari di samping mampu mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini.
“Kita masih lagi berpegang kepada sasaran 60 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir September ini dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah akan lengkap vaksinasi pada akhir Oktober seperti sasaran nilai ambang ditetapkan.
“Bagi mencapai sasaran tersebut kita akan memperbanyakkan program ‘mobile outreach’. Kerajaan Negeri (Sabah) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan merancang lebih 130 program outreach dalam bulan September dan Oktober ini.
“Bila selesai atau jumlah populasi dewasa di Sabah sudah capai hampir 80 peratus, saya telah maklum kepada Ketua Menteri Sabah bahawa ketika itu sudah boleh memulakan vaksinasi di kalangan remaja selepas sasaran tersebut berjaya dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu, Sabah, hari ini.
Terdahulu beliau dan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor mempengerusikan bersama Mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) Peringkat Negeri Sabah di sini.
Dalam pada itu, berkenaan penghantaran vaksin CanSino, Khairy memaklumkan Malaysia hanya menerima 300,000 dos vaksin tersebut disebabkan bekalan yang tidak mencukupi di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, 100,000 akan tiba pada minggu hadapan dan 200,000 lagi akan tiba pada akhir bulan September ini.
“Kita akan buat pengagihan sebaiknya kepada Sabah dan kita menjangkakan Malaysia akan terima lebih banyak vaksin CanSino pada bulan Oktober ini.
“Sudah pasti Sabah akan menjadi negeri keutamaan untuk menerima vaksin tersenut disebabkan keperluan CanSino yang sesuai digunakan di Sabah,” katanya.