6 SEPT : Peguam kontroversi, Siti Zabedah Kasim atau dikenali Siti Kasim memohon maaf kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad kerana menuduhnya memakai jam tangan jenama mewah berjenama Rolex.
“Minta maaf Ustaz sebab saya memang salah,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter, hari ini.
Dia merujuk ciapan menerusi akaun Twitter milik Idris yang menjelaskan jam dipakainya itu adalah jenama Buruj yang telah lama digunakannya bagi memudahkan dirinya untuk mengetahui waktu solat dan arah kiblat.
“Untuk pengetahuan, jam Buruj ini lama dah saya pakai, senang nak tahu waktu solat dan arah kiblat.
“Boleh solat dekat mana-mana. Dalam pejabat yang baru masuk pun boleh solat sebab senang nak tentukan arah kiblat,” kata Ahli Dewan Negara itu.
Idris berkata demikian sebagai mengulas ciapan Siti Kasim yang mendakwa beliau memakai jam tangan berjenama Rolex.
Menerusi tangkap layar daripada Twitter Siti Kasim, peguam itu meminta pengikut laman sosialnya memeriksa jam tangan Rolex dipakai Idris.
Ia membabitkan satu gambar memaparkan Idris yang juga Naib Presiden PAS itu menadah tangan berdoa dan menampakkan jam tangan.