7 SEPT: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, dakwaan peguam Ahli Parlimen Baling, Amer Hamzah Arshad bahawa analisis laporan kewangan dikeluarkan agensi berkenaan sebelum ini membebaskan Abdul Azeez daripada tuduhan terbabit adalah hujahan dan belum diputuskan mahkamah.
“Kenyataan itu adalah hujahan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan membatalkan kesemua 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Abdul Azeez, pada 12 Mac lalu.
“SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pihak pendakwaan.
“Hujah balasan pihak pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam bela Abdul Azeez akan dibuat pada 6 Oktober ini,” kata SPRM dalam kenyataan, hari ini.
Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur semalam diberitahu laporan analisis kewangan SPRM sebelum ini membebaskan Abdul Azeez daripada tuduhan membabitkan rasuah.
Dalam penghujahan, Amer Hamzah memberitahu, di sebalik laporan itu, anak guamnya masih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek jalan raya di Kedah dan Perak serta pengubahan wang haram.
Sebelum ini media melaporkan Abdul Azeez merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram.