9 SEPT: Enam warga Palestin yang dianggap sebagai tahanan berisiko tinggi berjaya meloloskan diri dari Penjara Gilboa di utara Israel semalam sekali gus memalukan negara tersebut.
Lima daripada tahanan itu merupakan anggota Jihad Islam manakala seorang lagi merupakan bekas komander kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan Fatah.
Menurut komander perkhidmatan penjara wilayah utara, Arik Yaacov, kesemua tahanan itu meloloskan diri menerusi lubang yang dikorek di tandas yang kemudiannya bersambung dengan terowong yang wujud ketika penjara itu dalam pembinaan.
Pihak penjara turut mengesahkan salah seorang tahanan yang berjaya lari itu adalah bekas komander Briged al-Aqsa, Zakaria Zubeidi.
Difahamkan tahap kawalan keselamatan yang lemah disyaki menjadi punca kesemua tahanan itu berjaya meloloskan diri dari penjara berkenaan.
Lapor The Jerusalem Post, siasatan awal mendapati pegawai di Penjara Gilboa gagal melakukan pemeriksaan rutin sehingga memberi peluang kepada semua tahanan terbabit menggali lubang di sel mereka dalam usaha meloloskan diri.
Malah, pihak penjara gagal menghidu rancangan awal tahanan terbabit yang sebelum itu membuat permohonan untuk ditempatkan dalam sel yang sama.
Siasatan lanjut juga mendapati, pelan rekaan Penjara Gilboa dapat diakses dengan mudah di internet, namun sejak insiden itu laman web berkenaan telah ditutup.
Sementara itu portal berita Ynet melaporkan, kehilangan keenam-enam tahanan terbabit hanya disedari pegawai penjara kira-kira tiga jam selepas mereka bertindak meloloskan diri.
Difahamkan, tahanan terbabit meloloskan diri sekitar jam 1.30 pagi (waktu tempatan).
Terdahulu, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Omar Bar Lev berkata Penjara Gilboa dibina di atas tanah berpasir menjadikan kerja-kerja menggali lubang lebih mudah.
Pegawai penjara meneliti lubang yang dikorek di tandas sel yang menempatkan keenam-enam tahanan warga Palestin terbabit.
Susulan itu, operasi besar-besaran digerakkan di Tebing Barat untuk mengesan enam individu berkenaan.
Penjara Gilboa merupakan sebuah kompleks penjara berkawalan tinggi yang terletak kira-kira 4 kilometer (km) dari sempadan Tebing Barat.
Ia merupakan salah sebuah daripada daripada penjara bagi menempatkan warga Palestin yang terlibat dalam kegiatan anti-Israel termasuk serangan bersenjata.