7 SEPT : Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mengetuai delegasi Malaysia di mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 pada 8 hingga 15 September 2021 ini.
Mesyuarat yang akan dipengerusikan negara Brunei itu akan berlansung secara maya dan dijangka akan membincangkan pelaksanaan inisiatif Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) yang lebih pantas.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi satu kenyataan menjelaskan, inisiatif di bawah ACRF yang akan dipertimbangkan termasuk penandatanganan dan ratifikasi beberapa pengaturan pengiktirafan bersama (MRA).
“Antaranya ialah pemeteraian MRA ASEAN berkaitan Bahan Bangunan dan Pembinaan serta ratifikasi MRA ASEAN mengenai Kelulusan Jenis bagi Produk Automotif.
“Kemajuan ratifikasi perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) juga dijangka dibincangkan.
“Sejajar dengan ini, penekanan juga akan diberikan kepada kemajuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan langkah bukan tarif terhadap barang-barang keperluan yang ditandatangani pada November 2020 oleh para menteri,” menurut MITI dalam kenyataan tersebut.
Pada Mac 2021, AEM bersetuju bahawa pencepatan ratifikasi dan usaha menguatkuasakan beberapa perjanjian ekonomi ASEAN boleh memacu pemulihan ekonomi di rantau ini dengan segera.
Bagi merealisasikannya, MITI memaklumkan, menteri ekonomi ASEAN menugaskan pegawai kanan ekonomi untuk merangka satu garis panduan dengan kerjasama pakar undang-undang, mengenai peruntukan yang sesuai dan munasabah yang dapat digunakan untuk mempercepat langkah penguatkuasaan perjanjian ekonomi masa depan.
Aspek lain yang mungkin menjadi tumpuan Mesyuarat AEM kali ini ialah transformasi digital di ASEAN dengan menteri-menteri dijangka menyokong Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Agenda Transformasi Digital ASEAN untuk Memacu Pemulihan Ekonomi dan Penyepaduan Ekonomi Digital ASEAN.
Menurut MITI, menteri turut dijadual mengadakan rundingan dengan Rakan Dialog ASEAN iaitu Amerika Syarikat (AS), India, China, Kesatuan Eropah, Rusia, Korea Selatan, Jepun, Australia, New Zealand, Switzerland dan Hong Kong/China, untuk meneruskan kerjasama mereka di luar rantau ASEAN.