7 SEPT: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan panggung wayang, penggambaran filem, program muzikal dan lawak jenaka secara ‘live’ kembali beroperasi di negeri berada di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai Khamis ini dengan syarat ketat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada hari Khamis, 2 September 2021, sekali gus bakal memberikan kelegaan kepada lebih 1 juta penggiat seni, artis dan pekerja industri yang turut terkesan akibat penularan COVID-19 di negara ini.
Ismail Sabri berkata, kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat dan membolehkan semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN.
“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
“Justeru itu saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.
“Insya-Allah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perdana Menteri berkata, kelonggaran ini juga diberikan berasaskan faktor terdapat negeri-negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dua dos lengkap vaksin atau telah mencapai tahap imuniti kelompok.
Katanya lagi, industri kreatif menjadi penyumbang sebanyak 2 peratus atau RM29 bilion daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019.
“Selain membolehkan lebih sejuta penggiat seni, artis dan pekerja industri mula bekerja dan menyara kehidupan, kelonggaran ini juga dapat kembali menghidupkan industri kreatif negara yang sangat terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Ini sekali gus menggerakkan kembali semua inisiatif serta program yang direncanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), MyCreative Ventures dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA),” katanya.
Ismail Sabri menjelaskan antara aktiviti dibenarkan ialah pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
“Kerajaan juga akan membenarkan penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
“Penggambaran industri kreatif di dalam dan di luar studio kepada individu yang telah lengkap vaksin, selain ‘indoor busking’ kepada individu yang telah lengkap vaksin,” katanya.
Kata Ismail lagi, Kerajaan juga akan membenarkan persembahan di lounge hotel kepada individu yang telah lengkap vaksin dan aktiviti panggung wayang dengan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.
Jelasnya, aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksin serta kapasiti penonton 30% di ruang premis
“Aktiviti pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang telah lengkap vaksin dengan kapasiti pengunjung 30% di ruang premis,” katanya.- Oleh HAIKA KHAZI