7 SEPT: Belum ada sebarang Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung cadangan pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan sama ada kerja-kerja pembangunan di kawasan Hutan Simpan Kekal itu wajar diteruskan atau tidak adalah tertakluk kepada keputusan penilaian Laporan EIA.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, penyediaan Laporan EIA di Malaysia adalah satu keperluan di bawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang dikuatkuasakan JAS.
“Laporan EIA hendaklah disediakan oleh orang yang berkelayakan dan perlu menepati garis panduan yang ditetapkan oleh JAS.
“Laporan EIA ini membolehkan penilaian terhadap impak ke atas kesan alam sekitar serta mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk mencegah, mengurang atau mengawal kesan negatif terhadap alam sekitar dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kementeriannya bersedia memberi konsultasi dan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri Selangor bagi mencari jalan penyelesaian terbaik ke atas isu ini.
Tuan Ibrahim berkata, keutamaan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) adalah untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara lestari tanpa memberi impak yang negatif kepada alam sekitar.
Malah, Tuan Ibrahim berkata beliau menyokong penuh kenyataan dibuat Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang tidak bersetuju dengan cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) oleh kerajaan negeri Selangor.
“Bagi KASA, pewartaan keluar HSKLU atau mana-mana hutan simpan yang ada di Malaysia akan menjejaskan sasaran 45 peratus pengurangan karbon intensiti (per KDNK) menjelang tahun 2030 di bawah Nationally Determined Contribution (NDC) negara yang dikemukakan kepada UNFCCC pada tahun 2021,” katanya.