7 SEPT : Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan rasa dukacita apabila Kelantan merupakan antara negeri terendah kadar vaksinasi di mana hanya 50 peratus di rakyat di negeri itu telah divaksin.
Sehubungan itu, Baginda menitahkan rakyat segera mendaftar atau mendapatkan vaksin COVID-19 secara terus supaya Kelantan mencapai imuniti kelompok menjelang 30 September ini seperti yang dirancang.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Sultan Muhammad V, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan menerusi satu kenyataan berkata, baginda sangat berharap agar rakyat Kelantan segera mendapatkan vaksin supaya dapat melindungi diri sendiri dan ahli keluarga mereka kerana pengambilan vaksin itu merupakan satu tanggungjawab individu kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
“Baginda menyarankan agar semua pihak menggembleng tenaga memperluas Program Outreach Vaksinasi di seluruh Kelantan, terutama sekali di kampung dan juga pedalaman supaya masyarakat yakin akan keberkesanan vaksin dan tidak bersangka buruk.
“Dengan kes positif di negeri Kelantan di paras empat angka, Baginda amat berharap rakyat negeri ini akan segera mendapatkan vaksin supaya Kelantan tidak tercicir dalam mencapai imuniti kelompok dan seluruh rakyat boleh menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Baginda juga turut mengalu-alukan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai peruntukan 1.2 juta dos tambahan untuk Kelantan, bagi membantu mempercepat proses pemberian vaksin,” katanya di dalam kenyataan itu.
Katanya lagi, baginda menggesa semua pihak merujuk resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam ke-10 yang bersetuju hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Baginda juga merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program vaksinasi di negara ini, termasuk sukarelawan.
“Penghargaan juga dizahirkan untuk jasa semua petugas kesihatan yang memikul amanah berat dalam merawat dan menyelamatkan pesakit COVID-19, sejak tahun lepas,” ujarnya.