8 SEPT: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggesa pembukaan semula gimnasium dan sukan padang (outdoor sports) selepas kerajaan memberikan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) kepada industri kreatif berkuat kuasa esok.
Berikutan itu Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU berharap Kementerian Kesihatan (KKM) yang dipimpin Khairy Jamaluddin untuk mempertimbang cadangan tersebut dengan SOP ketat demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.
“Panggung wayang dibuka? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP ketat.
“KBS telah mencadangkan agar sukan padang (outdoor sports) dan gimnasium dibuka, kuasa ada pada Majlis Keselamatan Negara (MKN), harap KKM sokong,” katanya melalui ciapan Twitter, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media semalam bahawa kerajaan bersetuju untuk membenarkan panggung wayang, penggambaran filem, program muzikal dan lawak jenaka secara ‘live’ kembali beroperasi di negeri berada di bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai Khamis ini, dengan syarat ketat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan berkenaan dibuat berdasarkan perbincangan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 pada hari Khamis lalu sekali gus bakal memberikan kelegaan kepada lebih sejuta penggiat, artis dan pekerja yang turut terkesan akibat penularan COVID-19 di negara ini.
Ismail Sabri berkata kelonggaran ini juga bakal memberi kelegaan kepada lebih 19,000 syarikat dan membolehkan semua penggiat industri kreatif yang telah lengkap dua dos vaksin akan dibenarkan untuk kembali bergiat di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN.
“Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.
“Justeru itu saya ingin menggesa semua pihak yang terlibat dalam pembukaan sektor ini supaya sentiasa mematuhi syarat dan prosedur yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang risiko dan implikasi perundangan, keselamatan serta kesihatan khususnya dalam usaha negara untuk beralih ke fasa endemik menjelang akhir Oktober ini.
“Insya-Allah kerajaan akan sentiasa komited untuk mengambil pendekatan terbaik yang mampu menjamin pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.