8 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menawarkan barisan penggerak baharu yang tidak ada ‘baggage’ atau bebanan politik.
Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata penggerak politik lapisan baharu dalam BERSATU terdiri daripada mereka dari pelbagai kategori umur sama ada “senior” mahupun anak muda, yang tidak ada “baggage” politik.
Beliau berkata lapisan baharu ini tidak semestinya muda namun mereka yang berumur “senior” pun masih digelar lapisan baharu jika sejarah politik mereka masih hijau dan segar dan tiada “political baggage”.
“Yang membawa huru hara kepada negara semuanya lapisan lama yang ada kepentingan. Lapisan baharu bukan penyebab masalah, malahan mereka senak melihat ahli politik bermasalah yang sengaja menimbulkan lebih banyak masalah.
“Tetapi untuk bergerak ke hadapan, BERSATU mesti lebih berani dari pelbagai sudut. Mesti berani buka ruang untuk lapisan baharu.
“Mesti berani perbanyak perbahasan mengenai dasar pentadbiran negara agar parti yang menentukan agenda pentadbiran.
Mesti berani beri kepercayaan kepada lebih ramai muka baharu dan jangan benarkan budaya hanya percaya “orang keliling” menjadi barah,” katanya sempena ulang tahun ke-5 penubuhan BERSATU pada Jumaat ini.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata barisan penggerak baharu BERSATU mestilan berani beri empowerment kepada jentera parti akar umbi dan menjadi penentu hidup mati parti.
Berikutan itu, Wan Saiful berkata mereka mestilah berani semaikan budaya pentadbiran profesional yang lengkap dengan performance appraisal secara berkala agar pentadbiran parti tidak dimandulkan oleh politik dalaman.
Wan Saiful berkata mereka mesti berani segerakan kaderisasi generasi pelapis dan parti ini perlu penuh dengan persaingan sihat antara tokoh-tokoh yang berpotensi.
“Tidak lupa, unsur kerohanian mesti ditanam dalam perjuangan. Parti tidak akan bertahan lama jika yang dikejar hanya dunia.
BERSATU mesti tunjukkan perbezaan dengan parti-parti lain. Unique selling point kita mesti jelas. Niat kita juga mesti diikhlaskan.
“Jangan sesekali kita lupa bahawa BERSATU ditubuhkan oleh pemimpin yang sanggup dipecat demi melawan kleptokrat. Pemimpin kita diperangi kerana melawan kleptokrat. Kita juga terbukti tidak berkompromi dengan tekanan kleptokrat.
“Kita ini parti yang telah terbukti istiqamah dan tidak gentar bercakap yang benar walau apa pun risiko. Anak muda, golongan profesional, dan rakyat semua peringkat yang mahu menaikkan pemimpin yang bersih, inilah wadah yang perlu disertai. Kitalah yang boleh menaikkan lapisan baharu dengan agenda yang tulus, baik untuk negara mahupun untuk parti.
“Saya yakin, jika kita membulatkan tekad, memberanikan diri, dan memperjelas tawaran kita kepada rakyat, bukan sahaja kita boleh berbangga kerana telah mencapai usia lima tahun pada hari ini, malahan kita boleh yakin akan terus memimpin di tahun-tahun akan datang,” katanya.