8 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan kerjasama rapat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terutama dalam kajian berkaitan dengan penghasilan vaksin untuk manusia dan peranti perubatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata kerjasama antara KKM dan MOSTI adalah sangat rapat, penting dan tidak akan berhenti biarpun Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi.
Khairy berkata tindakan berkenaan selari dengan penegasan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sudah memberi tugasan berat kepada MOSTI untuk menghasilkan vaksin bagi manusia.
“Kita sudah ada vaksin untuk haiwan tetapi tidak ada vaksin manusia di Malaysia.
“Ini penting untuk kita memastikan jika ada keperluan untuk tahun-tahun mendatang kita tidak perlu lagi berunding dan membeli dari luar negara,” katanya pada program serah terima tugas antara beliau dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, KKM akan bekerjasama serta memberi sokongan kepada MOSTI untuk menghasilkan vaksin seperti Pelan Vaksinasi Antarabangsa yang kini sedang dilaksanakan di kementerian itu.
Beliau berkata, banyak peranti perubatan yang diperlukan untuk dibangunkan dalam fasa akan datang terutama fasa endemik termasuk untuk pengesanan kontak yang masih memerlukan sokongan daripada MOSTI apa yang dilaksanakan oleh KKM.
“Walaupun tugasan kita sudah bertukar tangan, tetapi saya yakin bahawa kita akan terus bekerjasama dengan rapat. Saya yakin kerjasama dengan Dr Adham untuk menangani COVID-19 ini tidak selesai di peringkat program imunisasi saja tetapi akan berterusan untuk beberapa tahun akan datang supaya dapat stabilkan keadaan negara kita dalam norma baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Adham yang kini mengambil alih portfolio yang sebelum ini disandangnya.
Pada 27 Ogos lalu, media melaporkan, Khairy yang sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kini diberi tugas sebagai Menteri Kesihatan manakala Dr Adham pula mengambil alih tanggungjawab Khairy sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.