8 SEPT: Orang ramai disarankan agar membuat permohonan di dalam talian sekiranya memerlukan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia bagi mengurangkan kehadiran pemohon ke pejabat JKM daerah dan membolehkan permohonan bantuan dibuat walaupun dalam kawasan berisiko tinggi.
“Kita telah mempermudahkan lagi permohonan dan boleh dibuat secara dalam talian dan tidak perlu pergi ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) secara fizikal.
“Sekiranya ada perkara-perkara yang perlu untuk hadir, pegawai JKM akan turun ke rumah untuk membuat siasatan lanjut.
“Temubual juga kita buat secara dalam talian, sekarang kita boleh guna sidang video dan panggilan video untuk memudahkan permohonan JKM,” katanya kepada media ketika ditemui di Sungai Pelek, Selangor, hari ini.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali mendedahkan, perkhidmatan dalam talian sepenuhnya sektor awam atau End-to-End (E2E) kini pada tahap 57.02 peratus dan di landasan tepat untuk mencapai sasaran 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian bermula dari peringkat awal ke akhir menjelang 2025.
Beliau berkata, perkhidmatan E2E itu menambah baik dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Rina memaklumkan kaedah baharu tersebut bagi mempermudahkan kaedah siasatan permohonan bantuan khususnya sepanjang tempoh PPN.
“Dalam tempoh ini, proses siasatan dilaksanakan secara temubual melalui talian (telefon) dan berdasarkan maklumat yang telah diisi oleh pemohon.
“Maklumat tambahan pemohon boleh diminta melalui email, WhatsApp atau pemohon atau perujuk boleh menghantar maklumat yang diperlukan di dropbox yang disediakan pejabat,” katanya.
Rina menambah, siasatan bersemuka boleh dilaksanakan mengikut kesesuaian dan bergantung kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa.
Beliau memberitahu pengecualian Proses Kaji semula Sepanjang tempoh PKP JKM telah mempermudahkan proses kaji semula.
“Semua penerima bantuan bulanan tidak perlu menghantar borang kaji semula dan hadir ke PKMD untuk siasatan lanjutan. Pegawai kes akan menggunakan borang kaji semula kelulusan terdahulu bagi melanjutkan bantuan.
“Penamatan kes hanya dilakukan sekiranya terdapat maklumat yang sahih seperti meninggal dunia, kes berpindah keluar daerah dan perubahan tidak lagi menepati syarat kelayakan menerima bantuan JKM,” katanya.