8 SEPT: Taliban mengumumkan pelantikan pemimpin veteran yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mullah Mohammad Hassan Akhund sebagai ketua kerajaan baharu malam tadi.
Turut diumumkan pelantikan beberapa pemimpin tertinggi mereka ke jawatan utama.
Ketua jurucakapnya, Zabihullah Mujahid dalam satu sidang akhbar memaklumkan pengasas bersama Taliban, iaitu Abdul Ghani Baradar dilantik sebagai Timbalan.
Anak kepada pengasas Taliban merangkap bekas pemimpin tertingginya, Allahyarham Mullah Omar, iaitu Mullah Yaqub pula dilantik sebagai Menteri Pertahanan, manakala jawatan Menteri Dalam Negeri diserahkan kepada ketua rangkaian Haqqani yang digeruni, Sirajuddin Haqqani.
Sementara itu, perunding Taliban yang berpangkalan di Doha, Amir Khan Muttaqi yang juga anggota Kabinet rejim pertama dinamakan sebagai Menteri Luar.
“Kabinet ini masih belum lengkap. Mereka hanya bertindak sebagai pemangku.
“Kami akan cuba membawa individu-individu dari bahagian lain negara ini,” katanya di Pusat Maklumat dan Media Kerajaan di Kabul.
Taliban yang kembali berkuasa sejak Ogos sememangnya dijangka mengumumkan pembentukan kerajaan apabila pemindahan pentadbiran yang diketuai Amerika Syarikat selesai pada penghujung bulan lalu.
Mereka juga menjanjikan pemerintahan ‘inklusif’ mewakili pelbagai etnik Afghanistan yang kompleks, walaupun wanita tidak mungkin dilantik di peringkat atasan kepemimpinan.