8 SEPT :Literasi politik harus dipupuk di peringkat sekolah bermula di peringkat umur 13 tahun bagi mendidik kematangan politik di kalangan belia dan memahami bentuk politik dalam sebuah negara demokrasi.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian menegaskan bagaimanapun sekolah haruslah bebas daripada menjadi tempat untuk sesebuah parti politik untuk dijadikan tempat memperluaskan pengaruh politik mereka.
Justeru, kerajaan perlu mencari pendekatan yang sebaiknya bagi membolehkan pelajar di sekolah memahami tanggungjawab mereka di samping dapat menggunakan kuasa undi secara berhemah dan rasional.
“Sekolah harus kekal sebagai institusi pendidikan dan bebas dari tempat memperkembangkan pengaruh politik. Kita tak boleh biarkan disebabkan undi 18 tahun dilaksanakan, sesiapa sahaja boleh masuk dan memperluaskan pengaruh mereka.
“Apa yang penting penting cabaran besar dalam memastikan segala ilmu pengetahuan diberikan sebaik mungkin barulah saya rasa mereka mampu melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Walaupun ada yang berpendapat bahawa ibu bapa juga akan memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pola pengundi golongan ini, namun pendedahan awal di sekolah tentang politik dan tanggungjawab rakyat dalam negara demokrasi perlu diberi kepada kepada golongan ini, “jelasnya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, SPR diarah bersiap sedia untuk melaksanakan Undi 18 sebelum 31 Disember ini seperti diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pada masa sama kerajaan belum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan berkenaan keputusan itu.
Katanya, ia akan dibincangkan dengan Pejabat Peguam Negara serta Kabinet dan ekoran keputusan mahkamah itu, beliau sudah mengarahkan SPR mempercepatkan proses itu seawal Januari tahun depan.
Dalam pada itu, Sivamurugan memaklumkan tiada alasan untuk tidak melaksanakan undi 18 tahun kerana ia sudah dipersetujui semua pihak sehingga rang undang-undang berkaitannya diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat pada 2019.
Beliau berkata, majoriti negara yang mengamalkan demokrasi juga telah menurunkan had umur kelayakan mengundi kecuali Malaysia dan sejumlah kecil negara lain.
“Kita di antara negara yang masih tidak amalkan undi 18, sedangkan ada negara sudah pun bergerak kepada undi 16 tahun. Ini bermakna, kita sepatutnya tidak boleh menggunakan alasan tidak matang, tidak ada infrastruktur, tidak kemudahan dan sebagainya. Semua perkara itu boleh dibuat.
“Tidak sewajarnya mengehadkan hak mereka sedangkan pada usia 18 tahun, mereka sudah boleh berkahwin, menyertai tentera dan polis, boleh berniaga, membayar cukai dan memiliki lesen.
“Mereka sudah boleh memegang tanggungjawab membina keluarga namun mengapa pula mereka tidak dibenarkan mengundi?
“Kita mahu melihat lebih ramai anak muda tampil untuk mentadbir urus negara. Kita perlu beri mereka ruang sebesar mungkin malahan bagi saya jangan dikhuatiri sama ada mereka bersedia atau tidak,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH