8 SEPT : Usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukanlah fokus utama yang perlu diberi perhatian oleh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada masa ini, sebaliknya isu rakyatlah yang sepatutnya menjadi keutamaan perbincangan apabila sidang Parlimen dibuka nanti.
Justeru, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, tidak perlu untuk membazirkan masa dengan melayan tuntutan yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
Menurut beliau, ahli-ahli Parlimen sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang perlu menggunakan ruang sidang Dewan Rakyat dengan sebaiknya.
“Ini perlu dilakukan demi menyuarakan dua perkara pokok iaitu membawa negara keluar dari pandemik COVID-19 dan membina kembali ekonomi negara.
“Bantuan daripada kerajaan adalah penting untuk jangka pendek, namun, pelan jangka masa panjang, terutama buat anak muda perlu difikirkan.
“Berapa ramai graduan universiti yang masih mencari kerja pada saat ini? Berapa ramai pula anak muda yang kehilangan pekerjaan waktu pandemik sejak tahun 2020 hingga hari ini?,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Shahir menjelaskan berdasarkan Jabatan Statistik, bilangan penganggur naik seramai 40,600 orang atau 5.6 peratus kepada 768,700 orang berbanding 728,100 pada Mei 2021.
Beliau berkata, manakala, kadar pengangguran pula meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus pada Mei 2021.
“Bayangkan, jumlah hampir 800,000 orang penganggur ini tidak termasuk graduan-graduan lepasan universiti yang baru mencari pekerjaan dan peniaga kecil yang gulung tikar.
“Inilah yang sepatutnya dibincangkan di Dewan Rakyat, dan bukannya usul undi percaya,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau memberitahu pihak mengharapkan agar Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon ini bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada terus diselubungi oleh pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik.
“Ketiga-tiga perkara itu perlu dilaksanakan dan diusahakan dengan sebaiknya-baiknya dengan menjadi teras utama dalam usaha memacu negara ke arah yang lebih sejahtera,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH