9 SEPT : Para penyelidik Thailand sedang membangunkan teknologi pengesan mudah alih bagi mengesan bau badan yang terhasil ketika berpeluh.
Ini susulan daripada kenyataan saintis tempatan yang mendakwa peluh luar biasa yang membasahi baju mungkin menjadi petanda jangkitan COVID-19.
Menurut penyelidik, berdasarkan beberapa sampel merek mendapati individu yang dijangkiti COVID-19 akan mengeluarkan kimia tertentu.
“Hasil dapatan ini kami gunakan untuk membangunkan peranti bagi mengesan bau badan tertentu yang dihasilkan bakteria daripada peluh pesakit COVID-19,” kata Dr Chadin Kulsing dari Universiti Chulalongkorn.
Kata Chadin, ujian berkenaan mencapai ketepatan sehingga 95 peratus dan ia diharap dapat digunakan sebagai alternatif mampu milik menggantikan ujian calitan yang lebih mahal dan memerlukan proses di makmal.
Bagaimanapun, peranti berkenaan masih di peringkat pembangunan dan kajian mengenainya masih belum diterbitkan atau mendapat penilaian rakan setara dan kini beberapa ujian sedang dijalankan ke atas peniaga di pasar makanan Bangkok.
Saintis menggunakan peranti yang biasa digunakan untuk mengesan bahan toksik pada alam sekitar.
Subjek perlu meletakkan kapas calitan di bawah ketiak selama 15 minit, sebelum memasukkan kapas berkenaan ke dalam bebuli kaca dan disteril dengan sinar UV.
Ia hanya mengambil masa 15 minit dan keputusan boleh diperoleh dalam tempoh 30 saat.
Ujian daripada peluh itu mendapat pujian daripada peniaga di pasar berkenaan berikutan ia lebih ‘selesa’ berbanding ujian calitan pada hidung.