10 SEPT : Semua ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diseru agar komited dalam memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada usahanya dan barisan Jemaah Menteri dalam usaha menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi serta memulihkan negara.
Pada masa sama, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyeru agar partinya itu memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat khususnya di bahagian dan cawangan.
Menurut beliau, BERSATU tidak boleh bersendirian dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) dan memerlukan sokongan parti-parti komponen yang mendokong PN dan parti-parti rakan yang lain untuk memenangi pilihanraya di samping membentuk kerajaan.
“Saudara dan saudari sebagai ahli parti, mestilah melakukan segala persiapan. Tumpukan kepada usaha untuk memperkuatkan parti di akar umbi.
“Jangan bersengketa sesama kita. Elakkan perasaan dengki dan irihati. Kukuhkan perpaduan, tingkatkan kerjasama dan lipat gandakan usaha untuk menjadikan BERSATU sebagai parti pilihan rakyat.
“Buktikan budaya politik BERSATU ini berbeza. Politik kita ialah politik khidmat. Politik prihatin. Politik jasa kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Politik kita bukan politik iri hati dan hasad dengki. Bukan politik perkauman yang melampau. Bukan politik adu-domba, tamak haloba dan kemaruk kuasa.
“Buktikan nilai kepimpinan kita yang berteraskan prinsip integriti dan amanah. Kita tidak boleh berkompromi dengan perbuatan rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa.
“Kita tidak mencampuri urusan mahkamah. Kita menghormati prinsip pengasingan kuasa antara badan Eksekutif, Legislatif dan Kehakiman. Kita juga komited dengan agenda reformasi institusi yang menjamin tatakelola kerajaan yang baik,” tegasnya.
Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun kelima BERSATU yang disiarkan secaya maya menerusi Facebook rasmi parti itu, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN memaklumkan pentadbiran parti di setiap peringkat termasuk di Ibu Pejabat, Badan Pimpinan Negeri, Bahagian dan Cawangan mesti diperkukuhkan dan mesti disusun dengan baik bagi memastikan semua perancangan parti dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Kita juga mesti sentiasa sabar dan tenang dalam menghadapi dugaan. Sentiasa menekankan prinsip penyatuan dan perpaduan dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.
“Kepimpinan BERSATU di setiap peringkat mestilah menjadi “role model” kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda yang bakal menjadi pelapis kepimpinan parti dan negara.
“Nilai-nilai kepimpinan yang baik ini mesti kita terapkan secara sistematik dalam parti kita. Sehubungan ini, sukacita saya ingin mengumumkan penubuhan Akademi Kepimpinan BERSATU yang akan mengadakan siri latihan berteraskan nilai, roh dan semangat perjuangan BERSATU sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan parti.
“Akademi ini juga akan memberi tumpuan kepada penerapan semangat kebangsaan berteraskan Islam yang menyantuni masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai ideologi BERSATU.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, BERSATU akan terus membela nasib orang Melayu dan Bumiputera termasuk menjaga kebajikan serta memperbaiki taraf hidup golongan B40 yang sebahagian besarnya terdiri daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera.
“Walaupun usia BERSATU ini masih baharu, saya yakin jika kita dapat mengurus parti kita dengan cemerlang, istiqamah dengan roh perjuangan parti yang murni dan mengamalkan nilai-nilai kepimpinan yang mulia – berintegiriti, beramanah dan bermaruah – insyaAllah rakyat akan melihat kelainan dalam parti kita.
“Kita melakukan perkara yang betul dengan tidak tunduk kepada desakan untuk menggadaikan prinsip walaupun terpaksa hilang kedudukan dan jawatan.
“Melakukan perkara yang betul ini bukan tuntutan politik, tetapi tuntutan agama. Ingatlah, keberadaan kita dalam wadah BERSATU ini adalah kerana suatu perjuangan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH