10 SEPT: Persidangan Parlimen di bawah pentadbiran pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka menjadi tumpuan kerana wujudnya persaingan dua calon bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Sumber daripada Parlimen memaklumkan, usul bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijangka dilaksanakan pada hari kedua persidangan Parlimen.
“Usul itu dijadualkan sebaik sesi pertanyaan lisan, yang bermula jam 10 pagi, selesai dan sudah dimasukkan dalam aturan urusan mesyuarat.
“Ahli Parlimen akan buat keputusan buat keputusan mengenai usul (memilih Timbalan Yang Dipertua),” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan satu-satunya calon dari blok kerajaan untuk dicalonkan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat baharu bagi mengantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletakkan jawatan.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang mengadakan pertemuan dengan Ahmad berhubung pencalonan itu dan Ahli Parlimen Pontian tersebut menyatakan persetujuan.
Blok pembangkang pula dilaporkan mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH) dan perkara itu telah disahkan sendiri oleh Kor Ming.
Mengikut Peraturan Mesyuarat 6(2) dewan, aturan memilih Timbalan Yang Dipertua boleh dibuat seperti hendak memilih Yang Dipertua namun menerusi urusan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Peraturan Mesyuarat 4(3) menyatakan sekiranya terdapat lebih daripada satu pencalonan, maka undian akan dilakukan secara ‘belah bahagian’ atau bersurat.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bermula Isnin ini hingga 12 Oktober depan yang berlangsung selama 17 hari.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama, serta menyampaikan Titah Diraja.
Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada 27 September, disusuli sesi perbahasan bermula 28 September hingga 4 Oktober.