10 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berharap semua pihak dapat ‘moved on’ dan menerima hakikat serta memberi kerjasama penuh kepada Tan Muhyiddin Yassin yang baru dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Berikutan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berharap tiada lagi pihak yang mengungkit bahawa Pengerusi Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih layak memegang jawatan terbabit.
Wan Saiful berkata ini kerana pelantikan itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mengambil kira peranan, pengalaman dan kejayaan Muhyiddin memimpin dan memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, sebelum ini.
“Saya rasa pandangan yang disuarakan oleh Tun Dr Mahathir sebagai orang yang berpengalaman dalam politik negara memang pun diambil kira.
“Bagaimanapun keputusan telah dibuat bahawa ini struktur kerajaan dan inilah struktur dalam MPN.
Jadi bila keputusan dibuat, saya rasa kita bantu sajalah untuk pastikan bahawa kerajaan dan MPN sebagai salah satu entiti dalam kerajaan boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Kita terima pandangan semua pihak dan saya minta kerajaan untuk menerima pandangan semua pihak. Kalau ada yang baik, bagilah pandangan, tak payahlah cadang tukar itu tukar ini. Kita selesaikan bab itu dan moved foward,” katanya dalam sesi temu bual sempena sambutan ulang tahun kelima penubuhan BERSATU di pejabatnya semalam.
Ditanya sama ada BERSATU akan menyokong usul dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menamakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat bagi menggantikan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman yang meletak jawatan baru-baru ini, Wan Saiful berkata BERSATU tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian mengenai perkara itu.
Beliau berkata cadangan untuk melantik Ahli Parlimen Pontian itu sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat akan diperhalusi oleh pucuk pimpinan PN dalam masa terdekat.
“Pandangan PN ini penting dan orang ramai tidak perasan bahawa parti terbesar dalam kerajaan hari ini adalah PN yang mempunyai kira-kira 50 kerusi dan blok kedua terbesar ialah Barisan Nasional (BN) dengan 41 kerusi.
“Pandangan mengenai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ini rasa elok kita beri ruang pemimpin PN untuk bincang disebabkan mereka duduk dalam Parlimen,” katanya.