10 SEPT: PAS akan mengadakan Muktamar Tahunan ke-67 di Kuala Terengganu, Terengganu, pada 6 dan 7 November depan.
Perkara itu terkandung di dalam lampiran surat Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertarikh 7 September lalu kepada semua setiausaha PAS kawasan, setiausaha dewan-dewan PAS negeri-negeri/Wilayah Persekutuan dan setiausaha dewan-dewan PAS kawasan-kawasan seluruh negara.
Menurut laporan lidah rasmi PAS, harakahdaily.net, muktamar kali ini akan diadakan secara hibrid iaitu kehadiran fizikal hanya melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya PAS Negeri/Wilayah Persekutuan.
Berikutan itu, mesyuarat agung PAS cawangan hendaklah diadakan dalam tempoh 10 September hingga 3 Oktober, dewan-dewan kawasan pula pada 7 hingga 11 Oktober dan Kawasan pada 14 hingga 17 Oktober.
Bagi muktamar dewan-dewan di peringkat negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hingga 24 Oktober sementara bagi dewan-dewan di peringkat peringkat pusat pada 30 dan 31 Oktober.
Semua mesyuarat agung dan muktamar di semua peringkat bolehlah diadakan secara maya ataupun hibrid (fizikal dan maya) mengikut kesesuaian dan keadaan setempat kecuali mesyuarat agung PAS cawangan.
Kaedah pemilihan bagi peringkat dewan-dewan kawasan, PAS kawasan, dewan-dewan negeri dan Pusat akan diperincikan dan dimaklumkan sebaik sahaja diputuskan oleh Jabatan Setiausaha PAS Pusat.