10 SEPT: Tugas membendung penularan ajaran sesat yang berlaku sepanjang zaman tidak seharusnya diletakkan pada bahu ulamak semata-mata, namun ia menjadi tugas kepada semua pihak.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, umat Islam perlu sensitif dengan sebarang ideologi yang tersebar.
Menurut beliau, sekiranya terdapat kekeliruan mengenai sesuatu isu, mereka perlu merujuk dan mendapatkan pandangan daripada pakar.
“Dalam sejarah, ajaran sesat ini berlaku sepanjang zaman. Apabila penularan itu sentiasa ada, sepatutnya menjadi tugas dan tanggungjawab semua pihak, bukan ulamak sahaja.
“Kita kena sensitif dengan perkara begini dan setiap benda jika ada ajaran memesongkan, masyarakat perlu terus merujuk kepada pakar,” katanya kepada media, hari ini.
Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi memuji sensitiviti umat Islam di negara ini kerana peka terhadap sebarang perilaku atau ideologi pelik yang cuba untuk disebarkan pihak luar.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ll turut berterima kasih kepada Pejabat Agama Negeri, Majlis Agama Negeri dan rakyat secara umumnya kerana sentiasa memberi kerjasama kepada kerajaan dalam membendung penularan ajaran sesat.
“Masyarakat kita ini sensitif apabila sebut perkara pelik, tetapi kadang-kadang ada juga perkara yang agak ganjil dan baharu yang sensitif itu sebenarnya ilmu, tetapi menjadi sensitif disebabkan kejahilan kita.
“Alhamdulillah, sikap sensitif kita menyebabkan apa juga ajaran sesat tidak akan dapat berkembang dan bertapak di Malaysia. Ajaran itu akan hancur dan ada tindakan diambil penguat kuasa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata, berdasarkan pemerhatiannya, kemunculan ajaran sesat ada kait rapat dengan kesedaran Islam.
“Jika masyarakat di sesuatu tempat itu mempunyai kesedaran Islam yang tinggi, mustahil untuk pihak tertentu membawa ajaran sesatnya terutama kepada mereka yang kurang ilmu agama,”katanya.