11 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad akan mengadakan satu pertemuan dengan mufti negeri, wakil Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai jemaah yang dibenarkan menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh negara.
Idris dalam satu kenyataan berkata, tindakan berkenaan selari dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik COVID-19 selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap divaksinkan, menjelang akhir Oktober, depan.
Berikutan itu, Idris berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan
membuat draf ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau untuk dijadikan panduan kepada seluruh negeri di Malaysia, tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri.
“Untuk itu, saya juga akan mengadakan satu pertemuan dengan mufti-mufti negeri, pihak KKM dan MKN dalam masa terdekat bagi perbincangan lanjut mengenai perkara ini.
“Pertemuan ini bagi membincangkan beberapa cadangan yang boleh diambil bagi memberi ruang kapasiti yang lebih luas untuk umat Islam solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah-langkah keselamatan yang rapi.
“Selain itu, cadangan untuk menjadikan lebih banyak surau biasa termasuk surau-surau di pejabat sebagai tempat mendirikan solat Jumaat juga akan turut dibincangkan bersama pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Idris berkata demikian mengulas penularan video rasa tidak puas hati orang ramai mengenai terdapat layanan pilih kasih ‘dua darjat’ antara golongan kenamaan (VVIP) dan orang biasa dalam kalangan kenamaan (VVIP) dan orang biasa yang hadir untuk menunai solat Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya, semalam.
Mengulas lanjut, Idris berkata kerajaan memberi perhatian serius terhadap kemudahan solat berjemaah di masjid dan surau serta aktiviti berkaitannya.
Beliau berkata langkah berkenaan juga sebahagian daripada lima inisiatif mantap yang dirancang oleh pihak saya, iaitu
pemantapan mental, jasmani dan rohani serta pemantapan institusi masjid dan surau di negara ini, pada masa depan.
“Saya amat berharap agar masyarakat khususnya umat Islam memahami bahawa sebarang keputusan yang akan
dibuat oleh pihak kerajaan dalam setiap perkara, keselamatan rakyat adalah perkara yang paling menjadi keutamaan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan terus berusaha bersama pihak berkuasa agama negeri, dalam perkara berkaitan hal ehwal agama Islam agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta menurut lunas perundangan.
“Semua usaha ini sudah pasti akan mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang Di-Pertuan Agong, serta Tuanku Sultan dan Raja negeri-negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam di negara ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI